Wednesday, March 7, 2012
Penyakit Kuning Pada Bayi ( Jaundice )
Penyakit kuning atau juga dikenali sebagai jaundis memang kerap menyerang bayi yang baru lahir. Kulit dan mata putih bayi kelihatan kuning apabila diserang penyakit ini. Boleh dikatakan lebih separuh bayi yang dilahirkan akan mengalami keadaan ini. Biasanya penyakit kuning tidak menumbulkan masalah jika diatasi dan akan hilang menjelang minggu pertama selepas bayi dilahirkan.
Setelah bayi lahir, akan berlaku satu proses dalam tubuhnya dimana darah lama terhapus dan digantikan dengan penghasilan darah baru. Salah satu kandungan dalam darah yang dimusnahkan adalah bilirubin yang biasanya masuk kedalam hati dan sedikit sebanyak mengganggu fungsi hati yang menjadi punca menyebabkan warna kuning pada kulit dan mata bayi.
Jumlah bilirubin yang berlebihan berisiko menyebabkan masalah pendengaran dan kerosakan pada otak bayi. Penyakit kuning juga mungkin disebabkan oleh penyakit hati dan ini turut diiringi gejala warna najis bayi tidak normal seperti biasanya dan berwarna pucat daripada biasanya. Kerana itu adalah penting untuk pemeriksaan dilakukan bagi melihat jenis dan tahap penyakit kuning yang menyerang bayi.
Bayi yang berisiko atau mudah mendapat penyakit kuning adalah bayi yang lahir tidak cukup bulan (pramatang) dan bayi yang terdedah kepada sesuatu jangkitan penyakit. Selain itu, bayi yang mempunyai golongan darah berbeza daripada si ibu juga mudah diserang penyakit kuning kerana kesan sel darah yang dimusnahkan berlaku lebih cepat daripada biasa.
Bayi yang diserang penyakit kuning biasanya akan diletakkan dalam inkubator khas dengan mata tertutup dibawah sinar cahaya biru sebagai salah satu terapi rawatan untuk memecahkan bilirubin di dalam kulit dan menghilangkan penyakit kuning.
Bagi kes penyakit kuning yang serius, bayi mungkin harus menjalani proses pemindahan darah bagi membuang bilirubin dari dalam tubuhnya. Jangan terlalu risau. Kebanyakan penyakit kuning yang dialami bayi mudah sembuh jika mengikut rawatan yang betul tambahan pula bayi yang baru lahir akan dipantau tahap kesihatannya dengan teliti.
Ref : Majalah BAKAL IBU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment