"Benarkah penderitaan ada manfaatnya?", begitulah pertanyaan seorang sahabat kepada saya.
"Ya, jelas sekali banyak sekali manfaatnya disebalik sesuatu penderitaan," ringkas menjawab.
Saya kemudiannya cuba menjelaskan bahawa orang-orang yang hebat adalah mereka yang mampu mengharungi samudera lautan penderitaan biar pun kita tahu ianya dalam dan luas. Semakin menderita hidup seseorang maka semakin hebat cara hidupnya bagi mengatasi dan menghadapi penderitaan yang dialaminya. Asal kita tahu bagaimana mengelola penderitaan menjadi keindahan, kebahagiaan dan kesihatan dalam hidup kita.
Pertamanya, pengalaman menderita dalam hidup kita sebenarnya mengajarkan kita kepada limpahan kasih sayang Allah SWT agar kita semakin dekat dan taat kepada-Nya, dengan demikian limpahan kasih sayang Allah akan memenuhi hati kita dan hati kita akan memancarkan kasih sayang-Nya untuk semua orang yang disekeliling kita. Allah menimpakan kita dengan ujian dan penderitaan kerana Dia sayang akan hamba-Nya, agar diperingatkan pada kita bahawa Allah-lah tempat mengadu.
Pernahkah kita fikir, jika kita tidak ditimpakan ujian, bagaimana rasanya keadaan kita pada ketika ini? Mungkin leka dengan dunia dan mungkin juga lupa akan pengaduan kita pada-Nya. Ujian adalah peringatan buat diri yang bergelar hamba. Dengan dikurniakan dugaan dan penderitaan, kita mungkin akan terlatih untuk menjadi lebih sabar dan bijak dalam menghadapi kehidupan.
Keduanya, penderitaan yang kita rasakan, akan menjadikan kebahagiaan kita menjadi lebih sempurna. Mungkin akan timbul persoalan dikalangan sahabat sekalian, bagaimana mungkin kebahagian boleh menjadi lebih sempurna? Kebahagiaan yang sejati pada dasarnya adalah mengalami kegembiraan dan penderitaan secara seimbang. Sunnatullah kewujudan kita di muka bumi ini akan diuji dengan kesenangan mahupun kesusahan.
Bagaimana pula ujian kesenangan? Sebagai contoh, seorang kaya yang mana hidupnya dikelilingi harta, ujiannya ialah sentiasa merasakan tidak cukup dengan hartanya ataupun mungkin merasa hidupnya sentiasa tidak selamat kerana takut dirompak atau dicuri hartanya. Itulah realiti yang sememang perlu kita akui. Keseimbangan ini akan mampu menjadikan hidup kita menjadi lebih dinamik, sentiasa bersedia dan bersyukur ketika semuanya datang silih berganti antara bahagia dan derita.
Ketiganya, penderitaan yang dialami kita akan membuatkan kita semakin peka terhadap penderitaan orang lain. Kita secara tidak langsung akan memiliki sifat simpati dan kasih serta menghormati orang lain sebagai hamba Allah yang sama-sama dimuliakan. Malahan sifat pentingkan diri juga akan dapat kita singkirkan jauh dari diri kita. Kita tidak akan berani menghina, melecehkan, atau mencemuh orang lain kerana kita merasakan betapa pahitnya sebuah penderitaan. Seterusnya akan melahirkan insan yang bersifat dengan sifat syukur dengan apa yang ada, tidak tamak, melebihkan orang lain dan sebagainya lagi. Setiap ujian atau penderitaan akan mematangkan kita tiap kali ia menjelma kerana kita akan cuba mencari jalan penyelesaiannya.
Teringat suatu ungkapan yang pernah di sebut oleh Albert Ainstien, "seratus masalah , tak bererti seratus kali gagal, tetapi ianya akan menghasilkan seratus penyelesaian kepada seratus masalah."
Keempat, ketika hati kita remuk redam, ingin menangis menangislah sesungguhnya apa yang kita rasakan sakitnya, dengan menangis merupakan salah satu cara untuk membersihkan hati kita. Menangislah kepada Allah agar diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menjalani hidup ini.
Firman Allah SWT: "Apa yang disisimu akan lenyap dan apa yang disisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (QS. an- Nahl : 96).
No comments:
Post a Comment